Damai Gemilang



NIK RUSLAWATI BT ARIFIN


4.0      TEORI PEMBELAJARAN PENEMUAN - JEROME BRUNER

Jerome Bruner dilahir pada tahun 1915, seorang profesor psikologi terkenal yang lebih cenderung dalam bidang kognitif berbanding psikologi perkembangan. Bruner adalah pengasas dan pengarah pusat kajian kognitif di Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Beliau menyumbang dalam meneroka cabang psikologi pada tahun 1950an dan pada akhirnya menumpu kepada bidang pendidikan dan mengembangkan idea Vigotsky. Bruner menyarankan supaya seseorang individu membentuk konsep-konsep dan membuat kategori dengan membezakan benda-benda beraneka jenis dan rupa yang terdapat dalam persekitaran kita (Kamarudin Hj. Husin, 2009).

Sebagai seorang yang mementingkan ikatan antara pengajaran dan pembelajaran, Bruner telah mengalakkan belajar melalui penemuan atau dengan menemukan konsep sendiri. Bruner berpendapat  pembelajaran melalui penemuan sesuai dengan pencarian pengetahuan secara  aktif oleh manusia, dan dengan sendirinya memberikan hasil yang paling baik. Pembelajaran jenis ini menggalakkan murid-murid ini menggunakan imaginasi dan kreativiti secara aktif.  Contohnya dalam matapelajaran Sains, guru memberi contoh-contoh mamalia, kemudian meminta murid-murid menyatakan ciri-ciri mamalia.

4.1      Pendekatan pengajaran kepada 2 kategori iaitu:-

a) Pure discovery ( penemuan tulen)
Ø  Pengajaran di mana guru membenarkan murid-murid melakukan aktiviti pembelajaran secara bebas sehingga mereka menguasai kemahiran dan prinsip tertentu.
b) Guided discovery ( penemuan pengajaran berpadu)
Ø  Pengajaran di mana seorag guru memberi panduan kepada murid-murid untuk melakukan aktiviti pembelajaran sehingga mereka menguasai kemahiran dan prinsip tertentu.


4.2      Fasa-fasa Teori Pembelajaran Penemuan Bruner
Dalam teori penemuan pembelajaran oleh Bruner, terdapat 3 fasa iaitu:

 
       Rajah 4.1: Fasa dalam teori penemuan pembelajaran



Fasa 1 - Mempersembahkan data dan mengenal pasti konsep.

Setiap data diasingkan mengikut contoh konsep dan bukan konsep. Contohnya, jika p&p pada hari tersebut berkaitan dengan mengenal haiwan jinak, guru akan menunjukkan gambar haiwan seperti kucing, anjing, ayam, arnab, burung, harimau, singa, zirafah, gajah dan sebagainya. Guru meminta murid-murid mengelaskan kategori haiwan mengikut jenis iaitu haiwan liar dan haiwan jinak. Murid-murid diminta untuk mengelaskan haiwan jinak dan haiwan liar berdasarkan sifat-sifatnya. Proses pembentukan konsep merupakan aktiviti kreatif untuk memperolehi sifat-sifat dari suatu kategori.

Fasa 2 – Menguji Pencapaian Konsep

Bruner juga mementingkan sistem pengekodan dalam huraiannya tentang proses pemikiran. Dengan adanya sistem pengekodan, pelajar dapat membuat inferens (kesimpulan) tentang ransangan yang diterima. Sistem pengekodan yang dicadangkan oleh Bruner berbentuk hierarki, iaitu kategori yang umum sifatnya
diletakkan di atas manakala yang lebih spesifik sifatnya terletak di bawah. Contohnya seperti di bawah:


seperti di bawah:


Haiwan

 

                                                                                                                                 



                                      Rajah 4.2: Cara mengkategorikan yang umum kepada khusus.

Fasa 3 - Analisis strategi berfikir 
Dalam fasa yang ketiga ini, guru boleh menganalisa murid-murid samada mereka boleh membandingkan secara efektif setiap strategi yang telah dirancang. Berdasarkan rajah di atas, guru boleh menguji pelajar menamakan haiwan dalam kategori mamalia, ikan, burung, reptilia, amfibia dan sebagainya. Jawapan yang diberikan oleh pelajar berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru. Jika pelajar berjaya menjawab, maka pelajar itu telah berjaya memperoleh tahap pencapaian konsep.

4.3      Implikasi Teori Pembelajaran Penemuan Bruner dalam Bilik Darjah

Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru hendaklah menyediakan peluang kepada murid-murid untuk meneroka, memegang, mencium dan merasa. Carta, gambar, objek mestilah digunakan sebagai bahan bantu mengajar. Interaksi antara murid dengan guru adalah penting kerana proses pembelajaran bermula daripada interaksi guru dan murid. Teori pembelajaran penemuan ini juga menekankan penglibatan murid dalam proses p&p. Selain itu, kemahiran menyusun, menganalisis, membuat sinteksis, mengaplikasikan dan membuat penilaian ditekankan. Guru hendaklah mewujudkan peluang kepada murid-murid bagi membina kemahiran tersebut.


4.4      Kelebihan Teori Pembelajaran Penemuan
Teori ini menolong murid-murid membuat perhubungan antara apa yang mereka tahu dengan apa yang mereka pelajari. Murid-murid juga belajar bagaimana untuk menyelesaikan maklumat-maklumat yang relevan, menambah pengetahuan pelajar berkaitan konsep dengan mengkategorikan lebih daripada satu contoh konsep dengan penekanan kepada empat aspek iaitu kecenderungan murid-murid, pengajaran berstruktur, rangkaian dan peneguhan.

5.0      PEMBELAJARAN BERASASKAN INKURI – RICHARD SUCHMAN 

Model Inkuiri ini diperkenalkan oleh Richard Suchman. Model inkuiri berlandaskan andaian bahawa strategi-strategi yang digunakan oleh ahli sains untuk menjalankan kaji selidik boleh juga digunakan sebagai model pengajaran dalam mata pelajaran khususnya sains. Khairun Nadwa Binti Md. Ahir (2007), mentakrifkan inkuiri sebagai kaedah mencari kebenaran, maklumat atau pengetahuan di mana maklumat yang diperolehi adalah melalui persoalan. 

Menurut Dr. Ragbir Kaur (2012), inkuiri bermaksud satu proses mencari maklumat, ilmu atau kebenaran melalui kemahiran menyoal. Model ini berasaskan konsep penyelesaian masalah mengikut satu set langkah-langkah yang logik dan sistematik. Menurut Nordin Tahir (2006), inkuiri bermaksud menanya soalan, mencari maklumat atau menjalankan penyiasatan. Menurut Prof. Madya Dr. Zurida Ismail et.al (2003), inkuiri didefinisikan sebagai proses mencari kebenaran, maklumat atau pengetahuan melalui kaedah penyoalan. Ia melibatkan pemerhatian dan pengukuran yang teliti, membuat hipotesis, menterjemah dan membina teori.

Secara kesimpulan, kaedah inkuiri merangkumi segala proses mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti inkuiri ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan. Matlamat umum kaedah inkuiri adalah untuk membantu pelajar mendirikan kemahiran serta disiplin intelektual dalam menimbulkan persoalan dan mencari jawapan kepada pertanyaan mereka. Perkara ini penting sebagai satu usaha merangsang kognitif murid-murid.

5.1      Matlamat dan Andaian Model Inkuiri Suchman 

Matlamat umum model inkuiri ialah menolong murid-murid membangunkan intelektual dan kemahiran untuk meningkatkan persoalan dan mencari jawapan yang berpunca daripada perasaan ingin tahu. Maka murid-murid menyiasat atau menyelidik secara bebas tetapi dengan cara yang berdisiplin.

Model inkuiri ini mendorong murid-murid menyoal kenapa sesuatu peristiwa itu terjadi, memperoleh data secara logik dan menyusun strategi untuk mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Suchman percaya bahawa melalui proses inkuiri, intelek dan kemahiran murid-murid semakin meningkat dalam diri dan mereka boleh diajar prosedur saintifik secara langsung. Suchman merasakan bahawa kita tidak boleh menganalisis dan membuktikan pemikiran kita melainkan kita menyiasat perkara tersebut. 

Teori Suchman menyatakan bahawa pelajar secara semulajadi akan menyiasat apabila mereka berasa hairan berkaitan dengan sesuatu fenomena atau peristiwa dan juga berkaitan dengan kejadian-kejadian yang dilihat atau dialami oleh mereka. Rentetan daripada perasaan hairan inilah mereka boleh menjadi sedar dan belajar untuk menganalisis pemikiran berkaitan dengan persoalan yang diutarakan. Semasa proses mencari jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini, guru boleh mengajar strategi baru kepada pelajar secara langsung disamping memperkayakan pengetahuan sedia ada. Proses inkuiri boleh meningkatkan tahap pemikiran dan membantu pelajar untuk belajar berkaitan tentatif, pengetahuan berkaitan alam dan menghargai penjelasan alternatif.

5.2      Proses-proses Dalam Inkuiri Suchman

Pembelajaran berasaskan inkuiri adalah pendekatan konstruktivis di mana murid-murid mengendalikan pelajaran sendiri. Menurut Dr. Ragbir Kaur (2012), murid-murid bermula dengan menjelajah dan menyoal mengenai sesuatu isu. Ia melibatkan proses-proses seperti pernyataan masalah, membentuk hipotesis, mengumpul data, menganalisis data dan membuat kesimpulan/inferens.
Dalam model inkuiri Suchman, terdapat lima proses atau fasa iaitu:
                                    Rajah 5.1 : Model Inkuiri Suchman

Langkah 1 – Pernyataan Masalah

Langkah pertama ini melibatkan aktiviti memahami dan mengenal pasti aspek-aspek penting yang terkandung dalam pernyataan masalah. Guru memberikan contoh situasi masalah dan menerangkan prosedur inkuiri kepada murid-murid. Langkah pertama ini, masalah lebih kepada objektif p&p dan soalan berbentuk ya atau tidak. Permulaan inkuiri biasanya berdasarkan kepada idea-idea yang senang.

            Sebagai contoh, semasa p&p untuk mata pelajaran Sains dan alam sekitar, guru boleh memberi ruang kepada murid-murid meneroka sendiri sesuatu perkara. Contohnya jika guru ingin mengajar berkaitan dengan benda hidup dan benda bukan hidup, salah satu cara yang boleh digunakan ialah memberi murid-murid peluang untuk meneroka alam sekeliling dan mengumpul benda hidup dan benda bukan hidup dalam dua bekas yang berasingan. Jadi proses pengajaran yang pertama telah berlaku iaitu guru cuba untuk merangsang pemikiran murid-murid berkaitan dengan persekitaran dan mewujudkan perasaan inkuiri murid-murid terhadap tugasan tersebut.

Langkah 2 – Mengumpul Data dan Membuat Pengesahan Data

Peringkat mengumpul data ialah mencari maklumat yang melibatkan aktiviti mengumpul bahan-bahan atau fakta-fakta yang berkaitan dengan pernyataan masalah. Kesinambungan daripada proses penerokaan benda hidup dan benda bukan hidup, kanak-kanak dikehendaki mengumpul sekurang-kurangnya enam bahan seperti rumput, batu, ranting, bunga, seranga seperti semut, cacing, ulat dan sebagainya. Setiap bahan yang dikumpul oleh kanak-kanak, guru perlu melakukan pemeriksaan supaya bahan-bahan tersebut sesuai dan menepati objektif p&p. Kadangkala kanak-kanak akan mengambil apa sahaja yang menarik pada pandangan mata mereka, jadi di sinilah guru perlu memantau kanak-kanak supaya bahan yang dikumpul tidak terpesong daripada objektif p&p. 

Langkah 3 – Mengumpul Data dan Membuat Eksperimen 

Setelah maklumat berkaitan telah dikumpul, fasa yang seterusnya ialah membuat eksperimen ke atas data atau bahan yang dikumpul. Ada 2 kaedah untuk menjalankan eksperimen iaitu melalui penerokaan atau ujian secara langsung. Setelah selesai proses penerokaan di persekitaran dan setiap kanak-kanak mempunyai bahan-bahan yang dicari, guru boleh meminta supaya kanak-kanak memerhatikan sifat-sifat fizikal bahan-bahan tadi dan mengelaskannya berdasarkan benda hidup dan benda bukan hidup.
Semasa fasa ini juga, kanak-kanak akan bertanya kepada guru pelbagai persoalan hasil daripada penemuan yang diperolehi semasa penerokaan atau penyiasatan. Antara soalan yang mungkin kanak-kanak akan tanya seperti berikut:

·                     “Bagaimana daun dan pokok boleh membesar?”
·                               “Apa makanan untuk daun dan pokok?”
·                             “Apa yang akan berlaku kepada semut atau ulat jika musim hujan?”

Semakin banyak penjelasan yang murid-murid inginkan, semakin banyak soalan inkuiri akan ditanya oleh mereka samada kepada guru atau rakan-rakan. Proses inkuiri didorong oleh sifat ingin tahu dan keinginan memahami sesuatu ataupun penyelesaian masalah.

Langkah 4 – Menyusun dan Merumuskan Penjelasan 

Pada peringkat ini, kanak-kanak menyusun data atau bahan yang diperolehi dan membuat penjelasan. Semasa peringkat ini, murid-murid perlu menyatakan pengelasan bahan-bahan dan ciri-ciri pengelasan. 

Langkah 5 –Membuat Kesimpulan / Inferens

Pelbagai persoalan yang akan ditimbulkan oleh murid-murid berdasarkan pemerhatian dan penerokaan yang telah dijalankan. Proses penerokaan boleh menambahkan perasaan ingin tahu murid-murid terutama jika melibatkan benda yang boleh disentuh, dilihat dan dipegang. Dalam fasa ini, peranan guru sangat penting kerana setiap inkuiri yang ditanya oleh murid-murid, guru perlu membimbing mereka dengan penjelasan-penjelasan yang betul. Membuat inferens merujuk kepada keupayaan murid-murid membuat kesimpulan awal bagi menerangkan pemerhatian mereka. Inferens dibuat berdasarkan data atau maklumat yang diperoleh daripada pemerhatian dan juga pengalaman lalu. Inferens yang dibuat boleh diubahsuai bagi mengambil kira maklumat baru. Murid-murid biasanya dapat menerangkan pemerhatian mereka.

            Guru harus membantu murid-murid membezakan antara pemerhatian dan membuat inferens. Apa yang diperhatikan adalah sama tetapi penjelasan pada pemerhatian berbeza mengikut tanggapan murid-murid yang sememangnya berbeza. Kesimpulan dibuat dengan memilih penjelasan yang dirasakan paling munasabah bagi menerangkan pemerhatian. Pada peringkat ini, guru akan membantu murid-murid membuat inferens dengan merujuk kepada data-data yang dikumpulkan kerana perbincangan adalah berdasarkan kepada maklumat yang konkrit. 

5.3      Pendekatan Pengajaran Inkuiri

Pengajaraan sains berorientasikan inkuiri dapat dibincangkan dari pelbagai perspektif. Ada yang menekankan penglibatan aktif murid-murid, mengaitkan inkuiri dengan aktivit ‘hands-on’ dan pengajaran berasaskan aktiviti ataupun pengalaman. Ada juga mengaitkan inkuiri dengan pendekatan penemuan ataupun perkembangan kemahiran proses sains dan ‘kaedah saintifik’. Walaupun konsep-konsep ini saling berhubungan namun maksudnya tidak sama dengan pengajaran berorientasikan inkuiri. 

            Daripada perspektif pedagogi, inkuiri mencerminkan model pembelajaran konstruktivis atau sering dirujuk sebagai pembelajaran aktif. Justeru, pengajaran berorientasikan inkuiri seharusnya melibatkan mujrid-murid dalam penyiasatan bagi memenuhi keinginan ingin tahu mereka. Implikasinya pendekatan inkuiri bermula dengan keinginan mengetahui sesuatu. Penyiasatan ataupun pembelajaran bermakna tidak akan terhasil apabila tidak timbul persoalan atau sifat ingin tahu yang memerlukan jawapan, penyelesaian, penerokaan dan membuat keputusan.

5.4      Implikasi Model Inkuiri Suchman dalam Proses Pengajaran 

Dalam mengaplikasikan Model Inkuiri Suchman dalam proses pengajaran, guru akan menentukan objektif pelajaran mengikut tahap kebolehan murid-murid dan menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai. Sebelum memulakan p&p, setiap guru perlu menyediakan rancangan pelajaran harian untuk setiap mata pelajaran yang mengandungi objektif p&p dan bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran.

Dalam proses pengajaran menggunakan model inkuiri ini juga, guru perlu merancang langkah-langkah membentuk sesuatu konsep, prinsip ataupun teori dengan jelas dan terperinci. Guru juga perlu membimbing  dan membetulkan aktiviti-aktiviti pelajar yang terpesong daripada objektif pelajaran. Peranan guru sepanjang proses p&p ini lebih kepada menjadi fasilitator yang mengawasi dan memantau murid-murid. Dalam persekitaran pembelajaran yang mana guru sebagai pembimbing, memberi fokus, mencabar dan menggalakkan pembelajaran turut meningkatkan sifat ingin tahu kanak-kanak (Prof Madya Dr Zuraida Ismail, 2003). Implikasi pembelajaran inkuiri menggalakkan murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam proses inkuiri dengan guru memainkan peranan sebagai pemudahcara yang berkesan. Selepas peringkat akhir inkuiri, guru harus memberi ulasan atau penilaian terhadap hasil inkuiri murid-murid.


5.5      Kebaikan Model Inkuiri 

Pendekatan inkuiri membolehkan murid-murid menggabungkan kemahiran proses sains, taakulan saintifik dan pemikiran kritikal bagi membina kefahaman berhubung konsep-konsep saintifik. Murid-murid yang terlibat dalam pembelajaran inkuiri boleh membina kefahaman yang mendalam termasuk menghargai pengetahuan dan proses penemuan. Antara kelebihan model inkuiri ialah:
a)    Arahan kendiri, memajukan kemahiran pemikiran kritikal dan kemahiran pemikiran aras tinggi.
b)        Berpusatkan murid -  murid terlibat secara aktif dalam pembelajaran
c)  Menggalakkan perasaan ingin tahu dan menggalakkan murid memikirkan dan membayangkan jawapan-jawapan atau penjelasan-penjelasan yang mungkin.
d)        Perasaan ingin tahu akan membawa kepada inkuiri seterusnya;dan
e)   Kurang perlu mencari jawapan yang ‘betul’ kerana sebarang kesimpulan adalah berbentuk tentatif sahaja; kesimpulan bergantung pada data yang sedia ada.

Kesimpulannya, setiap teori yang dikemukakan mempunyai kelebihan dan pendekatannya yang tersendiri. Terpulang kepada seseorang guru itu untuk mengaplikasikan ke dalam proses pengajaran dan pembelajarannya bagi mendapatkan hasil dan teknik yang baik. Bagi tujuan itu, seorang guru perlu mempunyai daya kreativiti dan pengetahuan untuk mewujudkan satu teknik pengajaran yang berkesan dan berkualiti. 


No comments:

Post a Comment